1,000,000FansLike

2 Beradik Maut Kemalangan Jalanraya berhampiran Batang Kali

 

Dua beradik maut apabila van yang mereka naiki terbabas sebelum dirempuh sebuah lori, di Hulu Selangor awal pagi tadi.

Mangsa yang tercampak keluar, maut di tempat kejadian.

Empat lagi ahli keluarga cedera parah, termasuk ibu mereka yang mengandung lapan bulan.

Kemalangan berlaku di KM 46, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Batang Kali.

Siasatan awal polis mendapati, van ini dipercayai hilang kawalan setelah terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dari arah sama.

Akibatnya, van terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lori di bahagian sisi kiri.

Manakala kereta terbabit terbabas ke kiri dan merempuh pula saluran paip utama Syabas.

Van dinaiki enam sekeluarga ini dalam perjalanan pulang ke Behrang setelah membeli belah di sebuah pasaraya di Rawang.

Nurfarahanim Ismail, 18 tahun, maut di tempat kejadian, manakala adiknya, Muhamad Danial, lima tahun, meninggal dunia kira-kira sejam selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Pemandu van, Ismail Sanadi @ Othman, 48 tahun dan isterinya, Norida Abd Rahman, 39 tahun yang mengandung lapan bulan, cedera parah.

Dua lagi anak mereka, Mohd Haikal, Satu tahun dan Sopiah, tujuh tahun, dilaporkan kritikal.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Related Stories