1,000,000FansLike

Dokumen bocor plot untuk rosak hubungan dengan Umno, kata pemimpin PAS

Dokumen bocor dikatakan daripada satu mesyuarat PAS, yang didakwa menyebut pakatan untuk mengguling dan mengganggu Umno serta Barisan Nasional, ialah cubaan untuk memecahbelahkan dua parti yang mempunyai hubungan akrab, kata seorang pemimpin PAS.

“Kami nampak ini tidak lebih daripada cubaan menyedihkan untuk memfitnah PAS, serta merosakkan hubungan serta keakraban dua parti oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Saya ingin menafikan ketulenan dokumen itu. Saya juga ingin menjelaskan tiada plot seperti itu. Ia adalah dakwaan palsu dan liar sama sekali,” kata ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Awang Hashim kepada FMT.

Dokumen bocor itu dipercayai ialah minit mesyuarat PAS, termasuk rancangan mempercepatkan hukuman terhadap pemimpin Umno yang sama ada dibicarakan atau disabitkan dengan tuduhan seperti pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang.

Beberapa pemimpin terkenal dikaitkan dengan dakwaan plot itu, termasuk Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan pemimpin Bersatu, Azmin Ali serta Hamzah Zainudin.

Samsuri dilaporkan menafikan wujudnya pakatan untuk menjatuhkan pemimpin Umno dan menyifatkan dokumen ditularkan itu sebagai “sampah”.

“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya. Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif (seperti yang tular),” kata Samsuri.

Terdahulu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Cheek menggesa pemimpin PAS menjelaskan dokumen bocor itu.

Katanya, memandangkan dokumen itu membabitkan kepimpinan sebuah parti yang merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan semasa, adalah penting ia membuat penafian segera, jika kandungannya tidak benar.

Related Stories