1,000,000FansLike

Hakim Beri Kata Dua Kepada Najib – Hadir Prosiding Atau Kena Waran Tangkap!

Mahkamah Rayuan hari ini memberi kata dua kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan peguamnya untuk hadir prosiding kes SRC International Sdn Bhd secara dalam talian hari ini atau berdepan wang jaminan dibatalkan dan beliau dikenakan waran tangkap.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat perintah itu selepas peguam Harvinder Singh Sidhu memohon prosiding hari ini ditangguhkan kerana seorang peguam disahkan positif COVID-19 manakala yang lain menjadi kontak kasual.

“Mahkamah beri dua pilihan, yang pertama wang jaminan dibatalkan dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Najib untuk beliau dibawa ke mahkamah serta-merta atau pendengaran permohonan didengar secara Zoom (atas talian) tanpa mendapatkan persetujuan kedua belah pihak.

“Saya mahu kamu maklumkan kepada pihak peguam yang mereka boleh bekerja dari rumah. Esok tetap esok, kami belum buat keputusan untuk tangguh! Kita dengar permohonan (memasukkan bukti baharu) ini hari ini.

“Ia (esok) hanya untuk keputusan, semua hujahan sudah tamat enam bulan lalu.

“Ini adalah arahan saya, kes hari ini akan didengar pada jam 12.30 tengah hari, jika gagal (hadir secara dalam talian), saya akan putuskan sewajarnya tengah hari ini.

“Kami ada pengalaman prosiding dijalankan melalui online walaupun pihak-pihak berada di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun. Ini kan pula di Malaysia,” kata kata Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Hakim Abdul Karim juga memutuskan untuk meneruskan prosiding keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman berhubung penyelewengan dana SRC, yang ditetapkan esok.

Terdahulu, peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib, memohon prosiding hari ini dan esok ditangguhkan berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual kepada anak peguam, Muhammad Shafee Abdullah iaitu Muhammad Farhan yang disahkan positif COVID-19.

“Saya mahu kamu maklumkan kepada pihak peguam yang mereka boleh bekerja dari rumah. Esok tetap esok, kami belum buat keputusan untuk tangguh. Kita dengar permohonan (memasukkan bukti baharu) hari ini. Ia (esok) hanya untuk keputusan, semua hujahan sudah tamat enam bulan lalu.

“Ini adalah arahan saya, kes hari ini akan didengar pada jam 12.30 tengah hari ini. Saya akan putuskan dengan sewajarnya hari ini,” kata Hakim Abdul Karim.

Pada 1 Disember lalu, Najib memfailkan permohonan itu memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 November lalu berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Zeti Akhtar Aziz.

Related Stories