
AIDCNews – 06/08/11 – Presiden Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman menyarankan agar JAIS diberi ruang meneruskan siasatannya jika benar didapati wujud kes murtad dalam serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini
“ISMA mahu JAIS meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas JAIS dan undang-undang.
“Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini. Klik di sini
Dalam kenyatannya hari ini, ISMA juga mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal didakwa cuba memberi imej negatif seolah-olah JAIS menceroboh kesucian rumah ibadat dan tidak beretika.
“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.
Abdullah Zaik juga menyatakan kebimbangannya terhadap toleransi yang berlebihan – antaranya atas faktor politik – kerana ia membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam walaupun “kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata”.
“Gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.
“Sebagai umat Islam, perbuatan ini sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam,” katanya lagi.
Sementara itu Bernama melaporkan ahli-ahli akademik berpendapat kontroversi berlarutan serbuan JAIS terhadap satu majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama menunjukkan kerajaan negeri Selangor sedang mengalami kepincangan ketara.
Menurut beberapa penganalisis politik, ini berikutan kenyataan yang bercanggah di antara Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Negeri bagi Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Datuk Dr Hassan Mohd Ali.
Bagi pensyarah sains politik Universiti Teknologi Mara Asri Salleh, sewajarnya Jais dibiarkan untuk menjalankan tugasnya secara profesional tanpa sebarang campur tangan politik.
“Adalah lebih wajar sekiranya JAIS berurusan terus dengan pihak gereja, maka benda ini tidak akan menjadi kontroversi seperti sekarang,” katanya.
Menurut Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Mohamad Faisol Keling, semakin hari semakin jelas kepincangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, kepincangan ini terjadi akibat kerapuhan Pakatan PAS, DAP dan PKR kerana perbezaan matlamat dan objektif walaupun berlindung di bawah payung yang sama iaitu Kerajaan Negeri Selangor.
“Sekiranya isu yang dibangkitkan ini ada pertembungan dari segi pengurusan (kerajaan negeri) dan objektif ideologi (parti), maka ia telah membuktikan kerjasama yang lemah dalam pakatan itu sendiri.
“DAP objektif lain, PKR lain, PAS pun lain. Maka perbezaan ini telah menjadi kelemahan dalam pakatan itu sendiri dan memberi kesan terhadap sistem penyampaian kepada masyarakat,” katanya. Klik di sini