1,000,000FansLike

#PRNMelaka: Masa untuk tetapkan semula agenda PH

MELAKA TENGAH : Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak bermaksud mereka akan tewas dalam peperangan yang lebih besar, iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

Bekas Ahli Dewan Negara itu berkata, pakatan itu perlu bangkit dari episod Melaka, dan menetapkan semula konsep ‘Khemah Besar’, dan menggabungkan semua kuasa bagi meneruskan cabaran terhadap Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya lagi, mengambil kira fakta bahawa pengundi muda yang tidak suka BN, telah memberikan sokongan kepada PN, maka PH perlu diberi wajah baharu serta agenda lebih segar, untuk meraih sokongan pengundi atas pagar dan pengundi muda.

“Pada 2007, DAP tewas teruk pada pilihan raya kecil (PRK) Machap. Namun, ‘Tsunami Politik’ pada PRU Mac 2008 mengubah landskap politik negara.

“Sewaktu PRN Sarawak pada Mei 2016, kerusi DAP dikurangkan daripada 12 kepada tujuh. Pada Jun 2016, PH tewas di kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kurang dua tahun kemudian, pada Mei 2018, rakyat Malaysia mengubah kerajaan buat kali pertama,” katanya lagi.

Keputusan PRN Melaka pada 20 November menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti, selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

DAP hanya berjaya memenangi empat daripada lapan kerusi yang ditandingi, Parti Amanah Negara (Amanah) pula berjaya mendapat satu kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) tewas dalam kesemua 11 kerusi yang ditandingi.

Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, biarpun kekalahan itu amat dikesali, namun keputusan menunjukkan mereka masih boleh memenangi pertandingan itu sekiranya ada peratusan undi menyokong yang kecil dari golongan atas pagar, dan pengundi muda.

“DAP mesti cekal dalam menjadikannya parti nasional untuk rakyat Malaysia yang mempunyai kepercayaan ‘Malaysian first’. Kita perlu menolak desakan setengah pihak untuk menjadi parti bersifat ‘parochial’, atau jumud.

“Tiba masanya untuk menetap semula PH, dan menyuntik ‘game-changer’ ke dalam politik nasional, serta terus meyakinkan mereka bahawa PH sentiasa membawa harapan,” katanya lagi.

Related Stories