1,000,000FansLike

Selepas 4 tahun ‘menghilangkan diri’, lelaki didakwa merogol remaja ditahan semula

  • Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 pagi dan seterusnya dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
  • Suspek tidak dapat dikesan bagi pertuduhan, maka waran tangkap dipohon daripada mahkamah.
  • IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol mangsa berusia 16 tahun ke bawah dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.

Klang: Selepas empat tahun ‘menghilangkan diri’, seorang lelaki yang didakwa merogol gadis bawah umur sehingga mengandung empat tahun lalu, berjaya ditahan semula, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kes bermula pada 5 Julai 2018 apabila suspek ketika itu berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa ditangkap bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek merogol remaja berusia 16 tahun itu yang dikenalinya pada September 2017 melalui aplikasi Wechat.

Menurutnya, suspek melakukan hubungan seks dengan remaja itu pada Oktober 2017 di sebuah hotel di bandar ini.

“Selepas siasatan terhadap suspek selesai, suspek dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kertas siasatan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, suspek tidak dapat dikesan bagi pertuduhan, maka waran tangkap dipohon daripada mahkamah dan suspek dijadikan sebagai ‘Orang Dikehendaki’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kes itu, beliau berkata, pada 11.30 malam, 18 Jun 2018 lalu, mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan hasil pemeriksaan mendapati dia menggugurkan kandungannya pada 12 Jun 2018 di rumahnya di Kampung Delek, di sini.

Menurutnya, pada April 2018, mangsa mengandung dan bagi menyembunyikan perkara ini daripada ahli keluarga, mangsa mendapat nasihat rakan lain di Wechat untuk mengambil ubat keguguran.

Katanya, pada awal pagi 12 Jun 2018, mangsa mengambil empat biji ubat keguguran yang diberikan oleh rakannya dan mangsa melahirkan bayi lelaki cukup sifat tetapi tidak bernyawa di dalam tandas rumah pada 9 pagi.

“Selepas itu, mangsa memasukkan bayi itu ke dalam plastik dan membuangnya ke dalam tong sampah di tepi jalan di Kampung Delek, Klang, lebih kurang dua kilometer dari rumah mangsa.

“Ketika itu, ahli keluarga mangsa tiada di rumah, bagaimanapun pada 18 Jun 2018 mangsa mengadu sakit badan kepada ahli keluarganya lalu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol mangsa berusia 16 tahun ke bawah dan Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran.

Related Stories