1,000,000FansLike

Suspek rogol remaja tingkatan satu diberkas

  • Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan menangkap suspek yang berumur 39 tahun di Kuala Lumpur.
  • Pelajar tingkatan satu itu berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Zaky.
  • Mangsa dipercayai membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka.
  • Mangsa dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek dipercayai melakukan perhubungan seks bersama mangsa.
KLANG: Lelaki yang disyaki melarikan dan merogol remaja perempuan bawah umur sudah diberkas polis di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan dibuat susulan siasatan polis berhubung laporan kehilangan remaja itu oleh keluarganya.
“Pada jam 9.30 malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menangkap suspek yang berumur 39 tahun di Kuala Lumpur.
“Sewaktu tangkapan dibuat, polis turut merampas telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hoong Fong berkata, ibu bapa remaja perempuan berumur 13 tahun itu membuat laporan polis pada jam 8 malam Khamis lalu.
“Ibu remaja itu memaklumkan pemandu van memberitahu anaknya tiada di kawasan sekolah selepas selesai waktu sekolah.
“Pengadu bersama suami pergi ke sekolah dan mendapat tahu daripada rakan sekolah bahawa mangsa menaiki sebuah kereta jenis tidak pasti dengan seorang lelaki selepas tamat waktu sekolah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati anak mangsa adalah pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di bawah pentadbiran IPD Klang Selatan berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Zaky pada 14 Jun lalu.
“Selepas berkenalan selama dua hari, mangsa dipercayai membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka.
“Pada jam 6.40 petang Khamis lalu, suspek mengambil mangsa di hadapan sekolah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva warna perak dan membawa mangsa ke Melaka.
“Mangsa dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek dipercayai melakukan perhubungan seks bersama mangsa,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati, suspek menghantar mangsa ke Sentul atas permintaan mangsa pada jam 11.30 malam, Jumaat.
“Selepas mangsa diturunkan di kawasan Sentul, mangsa meminta bantuan seorang kawan untuk bawa dan tinggal di rumah kawannya.
“Pada keesokannya, mangsa meminta bantuan daripada rakan sekelasnya mengambilnya dari Sentul untuk pulang ke rumah. Maklumat itu dikongsi dengan pihak polis dan mangsa diselamatkan,” katanya.
Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Selain daripada itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.
“Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Pihak polis ingin menasihatkan kepada orang awam agar sentiasa mengawasi pergerakan, pergaulan serta penggunaan peranti elektronik anak masing-masing terutamanya remaja agar tidak terbabit dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat,” katanya.

 

 

Related Stories