1,000,000FansLike

Tajuddin ‘barbaric’, kontroversial; tak layak jadi duta, kata Pemuda Umno

  • Exconya Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin membuat desakan itu selepas Tajuddin secara terbuka menyerang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
  • tindak-tanduk dan sikap yang telah ditunjukkan itu membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT bahkan saya menyarankan agar beliau tidak dilantik menjadi duta ke Indonesia.
  • Contoh yang jelas dapat dilihat apabila beliau tidak profesional dalam menangani isu perlanggaran tren LRT tahun lepas

Pemuda Umno mendesak bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.

“Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang telah ditunjukkan itu membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT bahkan saya menyarankan agar beliau tidak dilantik menjadi duta ke Indonesia.

“Ramai pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan lebih layak dan boleh dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia. Adalah tidak baik untuk imej negara jika kerajaan menghantar seorang yang terpalit dengan pelbagai kontroversi di negara sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keputusan melantik individu seperti Tajuddin menjadi duta akan merosakkan nama parti susulan kenyataan tidak matang dan memalukan sering dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Muqharabbin berkata, keputusan MKT memecat Tajuddin juga tepat kerana jelas beliau bukan seorang pemimpin yang amanah apabila mendedahkan kepada umum setiap isu parti yang dibincangkan secara dalaman.

Desakan sama dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Cheras, Johari Yazid yang menganggap Tajuddin tidak layak menggalas jawatan duta dengan menuduh Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai panas baran, keras kepala, kurang toleransi dan sering menggunakan pendekatan “barbaric” dalam menyelesaikan isu.

“Contoh yang jelas dapat dilihat apabila beliau tidak profesional dalam menangani isu perlanggaran tren LRT tahun lepas yang menyebabkan beliau digugurkan sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Berhad,” katanya.

Katanya, kenyataan Tajuddin menyerang Zahid dan kepimpinan Umno menerusi sidang medianya sebelum ini sebagai tindakan tidak rasional dipenuhi elemen kebencian dan mencalarkan imej parti .

“Beliau menggambarkan seolah-olah berlaku kepincangan dalam Umno dengan wujudnya plot tertentu yang kononnya bertujuan menggulingkan presiden Umno melalui jalan yang tidak sah.

“Maka berdasarkan realiti tersebut, saya mewakili Pemuda Umno Cheras ingin menggesa dan mendesak Lembaga Disiplin mengambil tindakan tegas terhadap Tajuddin sebagai mesej jelas kepada semua ahli bahawa setiap pemimpin dan ahli perlu meletakkan agenda dan keutamaan parti lebih tinggi berbanding peribadi,” katanya.

Isnin lalu, Tajuddin menerusi sidang media mendedahkan beliau adalah saksi bahawa Umno menghantar akuan berkanun kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Tajuddin secara terbuka mendesak Zahid melepaskan jawatan presiden parti, selain mendakwa hampir 130 ketua bahagian Umno mahu beliau berbuat demikian.

Related Stories