1,000,000FansLike

Tiga maut dalam kemalangan dengan treler dekat Serendah

DUA lelaki dan seorang wanita maut selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Selangor, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang maut adalah B. Janani Sri, 24, P. Thamilselvam, 24 dan P. Sasitaran, 18 tahun.

Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.30 pagi dan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba tiba di lokasi 27 minit kemudian dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki mangsa dengan sebuah lori treler,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa dipercayai datang dari arah Rawang ke Serendah telah berlanggar secara berhadapan dengan treler yang datang dari Serendah menghala ke Rawang.

“Punca kemalangan kini masih dalam siasatan polis”.

Katanya, pemandu lori berusia 39 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan di dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi telah bertindak masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori treler terbabit.

Mengulas lanjut, dua mangsa terbabit merupakan pasangan suami isteri manakala seorang mangsa lagi merupakan adik kepada pemandu Myvi telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tujuan bedah siasat.

“Manakala pemandu lori dibawa ke klinik kerana mengalami kecederaan di bahagian dada,” katanya.

Jelasnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Arsad berkata, saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan ke pihak polis bagi membantu siasatan.

Related Stories