1,000,000FansLike

Tiga termasuk dua beradik lemas ketika berkelah

PERMAISURI: Perkelahan dua beradik bersama seorang sepupu bertukar tragedi apabila ketiga-tiganya ditemukan lemas di kawasan Air Terjun Lata Changkah Ulu Seladang di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu mengorbankan Syariadatul Nurfatihah Mohd Dera, 28, dan adiknya, Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka, Siti Aisyah Mazalan, 19.

Difahamkan, kakak sulung dua beradik itu, Sariatu Syafira, 32, juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan ahli keluarganya yang lain, termasuk seorang sepupunya berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata siasatan awal mendapati kejadian dikatakan berlaku ketika seorang daripada mangsa tergelincir dan terjatuh ke kawasan air terjun berkenaan.

Beliau berkata, salah seorang daripada mangsa menarik dua lagi mangsa yang lain sebelum ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mereka.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung sebelum dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap keselamatan ketika melakukan aktiviti di air.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak pergi ke tempat yang berisiko seperti mempunyai kedalaman dan arus yang deras bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Related Stories