1,000,000FansLike

Tunjuk siapa ‘bos’, Ramasamy beritahu Ismail

Ismail Sabri Yaakob tidak patut menyerah kepada tekanan daripada pemimpin Umno yang menggesa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan awal jika beliau mahu meraih rasa hormat daripada rakyat dan meningkatkan peluangnya untuk terus menjadi perdana menteri, kata P Ramasamy.

Beliau berkata, setakat ini Ismail berjaya bertahan menghadapi desakan untuk mengadakan pilihan raya segera seperti yang dituntut oleh pemimpin Umno yang berdepan tindakan mahkamah dan penyokong mereka, tetapi tekanan semakin meningkat.

“Dengan mengabaikan tekanan daripada mereka, Ismail mungkin meraih sokongan dan rasa muhibah daripada sebahagian besar rakyat.

“Malah, ujian litmus beliau untuk terus menjadi perdana menteri adalah sama ada beliau dapat menolak (desakan) sekumpulan ahli politik yang mementingkan diri sendiri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saya tahu, sukar untuk melawan mereka, tetapi Ismail tiada pilihan jika mahu dianggap sebagai perdana menteri yang bagus dan bertanggungjawab.”

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, dengan menahan tekanan daripada pemimpin-pemimpin Umno ini, Ismail mungkin dapat membenarkan mahkamah menyelesaikan kes mereka sebelum PRU15.

Tambahnya, ini bukan sahaja akan mengukuhkan kedudukan Ismail dalam Umno tetapi juga memastikan beliau mempunyai peluang untuk terus menjadi perdana menteri.

“Ismail mungkin dilihat tidak berkesan sebagai perdana menteri tetapi beliau sememangnya pilihan lebih baik berbanding pemimpin Umno tertentu yang korup,” kata Ramasamy.

Beliau juga bimbang jika PRU15 diadakan awal, kemungkinan besar negeri-negeri diperintah Pakatan Harapan (PH), iaitu Pulau Pinang dan Selangor, serta Kelantan bawah PAS, mungkin memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak.

“Ini bermakna akan terdapat beberapa pilihan raya di negara ini dalam masa terdekat. Saya tak pasti sama ada Ismail menyedari sepenuhnya hakikat ini dan implikasinya.

“Mengadakan PRU15 tahun depan selepas tamat penggal penuh pilihan raya adalah wajar untuk mengelak daripada pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan pada waktu berbeza,” katanya.

Related Stories