1,000,000FansLike

UMNO/BN lebih selesa sendiri, jangan berpaut pada kekuatan pihak lain – Ahmad Maslan

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan adalah lebih baik buat parti untuk memperkukuh kepada kekuatan sendiri berbanding mengharapkan kepada pihak lain.

Katanya ini kerana, hakikat tersebut diakui kebenarannya apabila langkah UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuahkan hasil apabila memperoleh undi selesa.

“Memautkan kekuatan pada orang lain ini sukar… lebih baik kuatkan diri kita sendiri dan menang atas kekuatan. Itu sebab keputusan untuk pergi solo,” katanya.

Beliau berkata demikian di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik ketika hadir berucap kepada 300 sukarelawan dari Perak yang akan membantu operasi pembersihan pasca banjir di Pahang.

Sementara itu Ahli Parlimen Pontian itu menambah analisis yang mengatakan undi kepada Perikatan Nasional (PN) memecah undi BN adalah tidak benar malah hakikatnya ianya memberi langkah sumbang buat Pakatan Harapan (PH).

“Ada orang kata tiga penjuru kalah BN tapi kenapa kita menang di Melaka… kerana rupa-rupanya PN memecah undi PH dan PN tidak pecah undi BN.

“Kebenaran apa yang berlaku di negeri Melaka BN menang terlajak 21 daripada 28 itu rupanya PN memecah undi PH, undi lebih kurang sama.

“Lagi pula ada 30 peratus lagi pengundi putih yang tidak keluar mengundi dan BN menang berbekalkan 70 peratus yang mengundi… ini adalah konteks demokrasi di Malaysia,” ujar beliau.

Terdahulu Ahli Parlimen Pontian itu turun padang melalui Misi Sukarelawan Bantuan Banjir Ibu Pejabat UMNO ke Pahang bagi memberi sumbangan keperluan asas kepada UMNO Bahagian termasuk Maran, Kuala Krau dan Jerantut untuk diagihkan kepada golongan yang terjejas.

Sejak bencana banjir melanda, misi terbabit telah memulakan gerakan dengan beliau sendiri menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Lembah Klang dan Selangor.

BACA juga:

Original Article

Related Stories