Usaha Membawa Balik Penuntut Malaysia Di Syria Selepas 15 Sept

0
124
Konflik Syria semakin meruncing

Usaha membawa pulang kesemua 220 penuntut Malaysia di Syria hanya akan dilakukan selepas esok setelah mereka menduduki peperiksaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata penuntut Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Syria kini menumpukan perhatian untuk menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada pertengahan bulan ini.

“Oleh itu, usaha membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Syria hanya akan bermula selepas mereka menduduki peperiksaan.

“Kita mempunyai beberapa pilihan untuk membawa keluar mereka iaitu melalui Doha (Qatar) atau Dubai (Emiriyah Arab Bersatu) ke Malaysia.

“Kita akan mencari jalan terbaik untuk membawa mereka keluar secepat mungkin termasuk menggunakan pesawat komersil,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Luar di Wisma Putra di sini, Selasa malam.

Anifah berkata Kementerian Luar telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan agensi-agensi berkaitan, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyelaraskan proses membawa pulang penuntut di Syria, ekoran rusuhan dan tunjuk perasaan berlarutan di negara itu.

Namun begitu, beliau berkata hampir 40 peratus daripada jumlah penuntut Malaysia mahu terus tinggal di negara itu.

“Saya dimaklumkan bahawa mereka mahu bertahan di Syria kerana mendapati keadaan di negara itu tidak membimbangkan.

“Kita akan memberi mereka untuk membuat pilihan dan sekiranya keadaan memaksa, kita akan mengarahkan mereka pulang ke Malaysia,” katanya.

Anifah berkata Wisma Putra akan membantu penuntut Malaysia di Syria untuk mendapatkan visa keluar bagi membolehkan mereka balik semula ke negara itu apabila keadaan kembali reda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.