1,000,000FansLike

[Video] Asrama di SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh terbakar

SARIKEI: Sebuah asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh dekat sini, terbakar pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 7 pagi.

Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis menerima panggilan kecemasan pada jam 7.05 pagi yang memaklumkan sebuah asrama pelajar sekolah di Kampung Paloh telah terbakar.

“Berikutan itu, pasukan bomba digerakkan ke lokasi terbabit yang melibatkan penggunaan bot untuk mengangkut alat kelengkapan bagi memadam kebakaran tersebut.

“Seramai 12 murid lelaki dan 17 murid perempuan tinggal di asrama tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurutnya, kebakaran tersebut melibatkan salah satu blok asrama yang menempatkan empat bilik iaitu dua asrama lelaki dan dua asrama perempuan.

Asrama lelaki musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut, katanya.

Tambahnya, api berjaya dipadamkan pada jam 8.45 pagi.

“Usaha mengawal dan memadam kebakaran tersebut turut dibantu Pasukan Bomba Komuniti dengan menggunakan 22 unit alat pemadam api mudah alih.

“Pihak bomba turut menggunakan dua aliran hos dengan mengambil air daripada pili bomba dan satu unit pam angkut.

“Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku,” katanya.

Tambahnya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Seramai 35 murid lelaki dan perempuan mendiami asrama SK Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh daripada keseluruhan 122 murid.

Related Stories